Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. ke Taif
Selama sembilan tahun setelah Nabi Muhammad s.a.w menjadi Rasul Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w telah menjalankan dakwah dikalangan kaumnya sendiri disekitar kota Mekah untuk memimpin dan memperbaiki keadaan hidup mereka. Sedikit orang yang telah memeluk agama Islam ataupun yang bersimpati dengan Baginda s.a.w., yang lainnya mencoba dengan segala daya upaya untuk mengganggu dan menghalang Baginda s.a.w dan pengikut-pengikutnya. Diantara mereka yang bersimpati dengan perjuangan Baginda s.a.w termasuk Abu Talib, paman Baginda s.a.w sendiri. Sungguhpun begitu Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
Setelah kematian Abu Talib, pihak Khuraish merasa bebas untuk menganggu dan menentang Baginda s.a.w. Di Taif, kota yang kedua terbesar di Hijaz, terdapat Bani Thafiq penguasa yang sangat kuat dan kaya raya. Nabi Muhammad s.a.w. pergi ke Taif dengan harapan ia dapat mempengaruhi kaum Bani Thafiq untuk menerima Islam, sehingga dapat memperolehi perlindungan bagi pemeluk-pemeluk agama Islam dari gangguan penguasa Khuraish. Baginda s.a.w juga bercita-cita hendak menjadikan Taif markas kegiatan-kegiatan dakwah Baginda s.a.w. Setibanya Baginda s.a.w disana, Baginda s.a.w telah mengunjungi tiga orang pemuka Bani Thafiq secara rahasia dan menyampaikan kepada mereka risalah Allah s.w.t. Bukan saja mereka tidak mau menerima ajaran Allah s.w.t. bahkan enggan mendengar apa yang dikemukakan oleh Baginda s.a.w kepada mereka. Baginda s.a.w telah diperlakukan secara kasar dan sungguh-sungguh biadap. Kekasaran mereka sungguh bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati yang telah menjadi bagian cara hidup bangsa Arab. Dengan terus terang mereka mengatakan ketidaksukaan Baginda s.a.w. tinggal ditempat mereka. Baginda s.a.w. berharap kedatangan Baginda s.a.w akan disambut dengan sopan santun, diiringi dengan kata-kata yang lemah lembut. Sebaliknya Baginda s.a.w telah dilempari dengan kata-kata yang kasar.
Kata seorang dari pemuka-pemuka tadi dengan penuh ejekan: “Hoi,benarkah yang Allah s.w.t. telah mengangkat kamu menjadi Rasul-Nya?”. Kata seorang lagi sambil ketawa: “Tidak bolehkah Allah memilih manusia selain dari engkau untuk menjadi Rasul-Nya?”. Yang ketiga pula melempar kata-kata hina yang bunyinya demikian: “Kalau engkau benar-benar seorang Nabi, aku tidak ingin bercakap-cakap dengan engkau kerana perbuatan yang demikian akan mendatangkan bencana kepada diriku. Sebaliknya jika kamu seorang pendusta,tidak ada gunanya aku bercakap-cakap dengan engkau.”
Dalam menghadapi tantangan yang hebat, ketabahan dan kekuatan hati yang merupakan sifat-sifat awal jadi Nabi Muhammad s.a.w. tidak menyebabkan Baginda s.a.w. merasa putus asa dan gagal sedikit pun jua. Setelah meninggalkan penguasa-penguasa Banu Thafiq tadi, Baginda s.a.w menghampiri rakyat biasa. Disini juga Baginda s.a.w menemui kegagalan. Mereka menyuruh Baginda s.a.w keluar dalam Taif. Baginda s.a.w menyadari usaha Baginda s.a.w tidak mendatangkan hasil yang diingini, Baginda s.a.w pun membuat keputusan menginggalkan kota itu. Tetapi mereka tidak membiarkan Baginda s.a.w keluar dari Taif secara aman. Mereka melemparkan kata-kata kasar mereka untuk mengusik, mengejek, mengacau dan melemparinya dengan batu. Pelemparan batu yang dilakukan kepada Baginda s.a.w hingga badan Baginda s.a.w berdarah. Setelah Baginda s.a.w berada agak jauh dari kota Taif, Baginda s.a.w pun berdoa kepada Allah SWT:
“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”
Demikianlah sedihnya doa yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t., sehingga Allah s.w.t. mengutuskan Malaikat Jibril menemui Baginda s.a.w. Setibanya dihadapan Nabi Muhammad s.a.w. diapun memberi salam seraya berkata:” Allah s.w.t.. mengetahui apa yang telah terjadi diantara kamu dan orang-orang ini. Allah s.w.t. telah menyediakan malaikat disini khusus untuk menjalankan perintah kamu.”
Sambil berkata demikian Jibril menghadap kemuka Baginda s.a.w. Kata Malaikat ini:”Wahai Rasulullah, saya bersiap sedia untuk menjalankan perintah Tuan. Kalau dikehendaki, saya sanggup menyebabkan gunung-gunung disebelah membuat kota ini bertabrakkan sehingga penduduk-penduduk dikedua belah pihak mati tertindih. Kalau tidak, Tuan katakan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini.”
Mendengar janji-janji Malaikat itu, Nabi Muhammad s.a.w. yang penuh dengan sifat rahim dan belas kasihan pun berkata:”Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah s.w.t., anak-anak mereka, pada satu saat nanti, akan menyembah Allah s.w.t.. dan berbakti kepadaNya.”
Sekarang perhatikanlah tauladan mulia dan suci murni yang telah diperlihatkan oleh Baginda s.a.w. Kita semua mengakui sebagai pengikut-pengikutNya, tetapi dalam kehidupan kita sehari-sehari, apabila kehendak kita ditolak atau tidak disetujui maka kita dengan langsung mengeluarkan caci maki dan kadang hendak membalas dendam terhadap mereka yang tidak setuju dengan kita. Sebagai pengikut-pengikutnya kita hendaklah mencontoh Baginda s.a.w. Setelah menerima penghinaan penduduk-penduduk Kota Taif, Baginda s.a.w hanya berdoa. Baginda s.a.w. tidak murka kepada mereka, tidak mengutuk mereka dan tidak mengambil tindakan balasan walaupun diberi kesempatan untuk membuat demikian.
